BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 3, 2009

rotan lagik

GURU-guru meminta Kementerian Pelajaran memberi kebenaran yang lebih luas kepada guru tertentu untuk merotan pelajar perempuan.

``Kuasa membenarkan guru merotan perlu jelas, termasuk membenarkan pelajar perempuan dirotan,'' kata sekumpulan guru yang sebulat suara menyatakan pendirian mereka berhubung perkara itu, baru-baru ini.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh sekumpulan 85 guru pelbagai jawatan semasa dialog bersama-sama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi membincangkan isu disiplin pelajar sekolah.

Dalam menangani masalah disiplin pelajar, kumpulan guru berkenaan menyokong tindakan merotan pelajar yang bersalah tetapi ia harus dilakukan dengan tertib.

Ini termasuk menyediakan garis panduan mengenai tatacara merotan.

``Kuasa merotan juga harus dihadkan kepada guru-guru tertentu seperti guru besar, guru disiplin, guru penolong kanan dan hal ehwal murid,'' katanya.

Guru-guru yang menyertai dialog yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan guru berjawatan pengetua, guru besar, guru biasa, guru disiplin dan guru kaunseling.

Mereka merupakan guru dari sekolah menengah, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Pada bengkel yang sama, guru-guru itu mahu Kementerian Pelajaran menghentikan kursus-kursus pendidikan semasa waktu sekolah dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar di sekolah-sekolah.

Kumpulan guru itu juga mendesak agar Mesyuarat Guru Besar tidak diadakan semasa waktu persekolahan dan kaunselor tidak harus kerap keluar berkursus.

Mengenai kuasa polis, mereka menyifatkan peranan polis amat penting dan mereka harus sentiasa mendampingi pihak sekolah selain memberi ceramah kepada para pelajar.

Pihak polis juga diminta mengawasi kafe siber yang merupakan salah satu lokasi paling popular dalam kalangan pelajar.

``Polis perlu meningkatkan pemantauan terhadap kafe siber dan membantu pihak sekolah dengan melaporkan kegiatan pelajar di kafe siber itu,'' katanya.

Dalam pada itu para guru berkenaan turut mempertikaikan bebanan guru yang semakin bertambah terutama dalam melakukan tugas-tugas perkeranian.

``Guru-guru seharusnya diberi peluang untuk mengajar dan jumlah jawatan kerani harus diperbanyakkan di sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah melebihi 1,000 pelajar bagi merekod kes-kes disiplin,'' katanya.

Selain itu memperuntukkan guru khas untuk mengajar pelajar-pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran juga perlu.

Mereka juga meminta agar guru diberi insurans dan dilindungi daripada tindakan ibu bapa selain melantik penasihat undang-undang di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

``Guru kaunseling bertauliah perlu dilantik dan mereka harus bertugas sepenuh masa dan jawatan harus dianggap sebagai jawatan naik pangkat,'' katanya.

Sementara itu kumpulan guru berkenaan meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar tidak campur tandan dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Sebaliknya, PIBG diminta lebih komited dalam isu menangani disiplin pelajar.

Untuk memastikan pembabitan ibu bapa dalam perkara tersebut, para guru mencadangkan agar kad kemajuan pelajar diberi semasa Mesyuarat Agung PIBG sekolah masing-masing.

0 comments: