Jabatan Bimbingan dan Kaunseling
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Gejala disiplin di sekolah merupakan isu antarabangsa yang masih menjadi perbahasan semua peringkat sama ada ahli politik, ahli akademik mahupun masyarakat biasa. Isu pelajar sekolah membuli, merokok, bergaduh, memukul guru, dan yang paling mengejutkan, iaitu membunuh rakan sebaya menjadi topik perbincangan hangat setiap lapisan masyarakat memandangkan gejala ini semakin hari menjadi semakin serius. Pelbagai pendekatan digunakan oleh pihak sekolah termasuk melaksanakan konsep dendaan, sistem hukuman dan bimbingan, namun masalah ini masih tidak berjaya dibendung. Berdasarkan pengalaman praktikal Penulis sebagai pengamal kaunseling di sekolah, terdapat beberapa alternatif yang boleh dilakukan oleh guru-guru terutamanya kaunselor dalam menguruskan isu disiplin seperti penerapan konsep ‘agape love”, kursus “Fajar”, kursus “Galus”, dan mewujudkan “networking”. Intervensi ini yang berasaskan pendekatan kaunseling didapati dapat mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah. Penulis berharap agar kertas kerja ini dapat dijadikan sebagai salah satu sandaran ke arah penambahbaikan sistem yang sedia ada di sekolah bagi menangani masalah disiplin.
1. Pendahuluan
Hasrat kerajaan untuk mewujudkan “sekolah tiada kecacatan”, iaitu sekolah yang tidak mengalami masalah dari segi pencapaian akademik, persekitaran sekolah, mahupun disiplin pelajar telah lama diwar-warkan (Mohd Saleh, 1998). Usaha ke arah memupuk dan meningkatkan disiplin sekolah ini bertujuan untuk menjamin keselesaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah (Azizah, 2002). Ini kerana selain menjadi unsur penting dalam proses sosialisasi dan pembentukan peribadi pelajar, disiplin sekolah juga merupakan sistem kawalan yang membolehkan pengajaran berlaku dengan berkesan (Docking dalam Azizah, 2002).
Sekolah yang mempunyai disiplin guru, kakitangan dan pelajar yang tinggi secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang aman dan selamat untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut Suradi (1996), ketiadaan disiplin adalah satu penyakit dalam sistem pendidikan yang boleh menyebabkan proses pendidikan para pelajar menjadi tidak lengkap, dan seterusnya menimbulkan masalah disiplin di kalangan mereka.
2. Pelajar dan Masalah Disiplin
Merujuk pada Buku Rekod Salah Laku Masalah Disiplin yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1990, terdapat beberapa kategori salah laku disiplin, iaitu tingkahlaku jenayah, lucah, kekemasan diri, tidak mementingkan masa, kurang sopan dan biadab, laku musnah, tidak jujur, dan ponteng. Kesalahan yang dianggap berat pula termasuklah merosak harta benda sekolah, bergaduh atau bertumbuk di sekolah, memukul atau mengancam pelajar atau guru, dan memeras ugut.
Berdasarkan kajian-kajian lepas, didapati para pelajar terlibat dengan masalah disiplin disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah sikap guru yang kurang prihatin terhadap pelajar, kurang mesra dan menakutkan pelajar (Azizah, 2002), pergaulan dan pengaruh rakan sebaya yang bersifat negatif, kesan media elektronik, pengaruh budaya asing, dan kegagalan didikan ibu bapa (Asmah dan Zulekha, 2004). Selain itu, kadangkala guru-guru telah mendidik para pelajar dengan nilai yang baik tetapi nilai yang diperolehi dari dunia luar membatalkan usaha baik guru-guru di sekolah (Iloyd dan Asmah, 1987).
Bagi ahli-ahli psikologi pula, tingkahlaku bermasalah di kalangan pelajar yang merupakan golongan remaja dikaitkan dengan perkembangan tahap remaja yang dilalui oleh mereka. Pada tahap remaja, individu mudah mengalami konflik pemikiran dan gangguan moraliti. Remaja mengalami krisis identiti (Allen, 2000), iaitu dari segi mencari identiti yang sesuai dengan mengambil kira aspek tingkah laku, sikap dan kepercayaan (Tucker, 1990). Apabila remaja gagal menyelesaikan krisis, mereka akan mempamerkan tingkah laku bilazim dan nakal (Erikson, 1968).
Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 14 April 2006 mendedahkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkaitan masalah disiplin di kalangan pelajar. Menurut beliau, pada tahun 1995 kira-kira 1.74% daripada 5.5 juta pelajar di Malaysia terlibat dengan kes disiplin. Walaupun statistik menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya tetapi beliau berpendapat masalah ini tidak boleh dipandang ringan.
Pada tahun 2006, negara sekali lagi digemparkan dengan beberapa kes salah laku disiplin. Antaranya ialah:
1. Mac 2006 – kes seorang pelajar perempuan menyerang dua orang gurunya di sebuah sekolah menengah (Utusan Malaysia, 3/3/06).
2. April 2006 – seorang pelajar darjah 5 berada dalam keadaan kritikal dengan kedua-dua buah pinggangnya rosak dipercayai selepas dibelasah oleh rakan-rakannya di sekolah (Utusan Malaysia, 7/4/06).
3. Mei 2006 – 10 orang pelajar sekolah menengah melakukan perbuatan khianat dengan membakar buku, menconteng dan merosakkan kemudahan sekolah berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mereka (Utusan Malaysia, 19/5/06).
4. Jun 2006 – kes seorang pelajar tingkatan 1 dibelasah oleh 12 orang pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2 kerana enggan menyertai kumpulan samseng (Utusan Malaysia, 27/6/06).
Kes-kes yang dipaparkan di atas sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa persekitaran sekolah tidak lagi selamat sehingga memaksa pihak polis untuk campur tangan. Malah, pihak Kementerian Pelajaran terpaksa menggunakan alternatif dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah bagi menangani masalah disiplin termasuk buli dan gangsterisme (Utusan Malaysia, 1/5/06).
Situasi ini menunjukkan bahawa hukuman yang selalunya dikenakan terhadap kesalahan disiplin yang berat seperti rotan, gantung sekolah, dan dibuang sekolah sudah tidak praktikal lagi untuk dilaksanakan pada masa sekarang. Para pelajar bukan sahaja tidak mengambil pengajaran apabila melihat rakan-rakan mereka dihukum, malah tidak merasa insaf apabila diri mereka sendiri menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan.
Rentetan itu, pelbagai persoalan timbul. Adakah bentuk hukuman yang sedia ada masih belum mencukupi untuk membuatkan mereka patuh kepada undang-undang sekolah? Adakah mereka perlu dihukum dengan lebih “berat”? Adakah hukuman berbentuk “kekerasan” ini yang membuatkan para pelajar terus memberontak dan menjadi seorang yang delinkuen, atau adakah keadaan ini perlu diselami semula untuk mengetahui di mana pucuk pangkalnya permasalahan disiplin berlaku?
3. Pendekatan Kaunseling Dalam Mengangani Isu Disiplin
Kaunseling adalah “satu perhubungan yang dicirikan oleh keyakinan, saling mempercayai dan kemesraan yang membolehkan pelajar memperoleh kestabilan intelek dan emosi yang dengannya dia boleh menyelesaikan msalah atau kemusykilan, membuat rancangan dan memperoleh kepuasan kendiri yang lebih tinggi” (Suradi, 1996: 249). Melalui pendekatan kaunseling yang antaranya bersifat menerima klien tanpa syarat, berempati, tulen, dan berkeinginan untuk menolong, para pelajar dapat dibantu untuk memupuk tingkahlaku yang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.
Kesedaran untuk melahirkan para pelajar yang berdisiplin merupakan antara matlamat Kementerian Pelajaran seperti mana tertera dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran Malaysia (1979), iaitu penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini. Usaha ini dilakukan salah satunya dengan cara meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Di Malaysia, objektif am perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah antara lainnya bertujuan untuk 1) memberi khidmat penyuburan dan pengayaan meliputi semua aspek perkembangan diri pelajar dengan menyediakan peluang kemudahan dan pengalaman yang selaras dengan kemampuan dan potensi, 2) memberi khidmat pencegahan iaitu menghindarkan pelajar daripada terlibat dalam perbuatan salah laku seperti tingkah laku tidak berdisiplin, penggunaan dadah, merokok, laku musnah, peras ugut, menyertai pertubuhan haram dan tingkah laku anti sosial yang lain, dan 3) memberi khidmat bersifat pemulihan (remedial) dengan tujuan mengorientasikan semula pelajar yang bermasalah peribadi, pelajaran, kerjaya dan sosial supaya pelajar mampu menghadapi dan mengatasi masalah mereka (Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah, 2000).
Pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah ini menunjukkan bahawa kerajaan berusaha untuk menangani masalah disiplin dengan cara mendidik. Prinsip disiplin mendidik ini yang menekankan aspek pemerhatian dengan kasih sayang, prihatin, dan ingin membantu ditimbulkan kembali oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) baru-baru ini memandangkan gejala disiplin masih tidak dapat dibendung. Selain itu, kerajaan juga menganjurkan kursus jati diri bagi pelajar bermasalah supaya akhlak pelajar tersebut dapat dibina semula (Utusan Malaysia, 23/4/06).
Persoalannya, apa yang menyebabkan salah laku pelajar masih tidak dapat ditangani sedangkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang bercirikan kasih-sayang telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun yang lalu? Apa yang menyebabkan isu mendisiplin pelajar dengan cara mendidik disuarakan semula, walhal isu ini telah lama diutarakan? Adakah terdapat perbezaan antara prinsip disiplin mendidik pada 30 tahun dahulu dengan prinsip disiplin mendidik yang dikemukakan sekarang?
Persoalan-persoalan di atas mungkin boleh terjawab dengan dapatan kajian yang salah satunya dikemukakan oleh Suradi (1992). Beliau yang mengkaji tentang masalah pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah mendapati para pelajar menganggap perkhidmatan ini tidak berfaedah. Guru bimbingan dan kaunseling pula mengalami masalah tidak cukup masa, masalah kemahiran, masalah kerjasama, masalah sambutan pelajar, masalah kemudahan, masalah kewangan dan sebagainya. Mereka juga mempunyai beban tugas yang banyak, tidak tahu mengendalikan perkhidmatan, ketiadaan bahan atau maklumat untuk mengendalikan perkhidmatan, dan kurang mendapat kerjasama daripada pentadbir, guru-guru dan ibu bapa.
Ini menunjukkan bahawa pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan strategi yang bersesuaian perlu ada bagi seseorang guru terutamanya guru bimbingan dan kaunseling untuk mengimplementasi pendekatan kaunseling dalam menangani masalah disiplin di sekolah. Justeru, Penulis ingin mengemukakan beberapa alternatif yang boleh dilakukan oleh guru-guru terutamanya kaunselor dalam menguruskan isu disiplin seperti penerapan konsep ‘agape love”, kursus “Fajar”, kursus “Galus”, dan mewujudkan “networking”. Berdasarkan pengalaman praktikal Penulis sebagai pengamal kaunseling di sekolah, intervensi ini yang berasaskan pendekatan kaunseling didapati dapat mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.
4. Intervensi Dalam Menangani Masalah Disiplin
Secara umumnya, pendekatan yang digunakan ialah kasih-sayang. Pendekatan ini diterapkan dalam diri guru-guru dan para pelajar melalui program-program secara berkumpulan atau kelompok yang menekankan soal perkembangan, pembinaan dan pencegahan. Ini bertujuan untuk membina hubungan yang unik antara guru dengan pelajar, dan antara pelajar dengan rakan pelajar yang lain.
Hubungan baik antara pelajar dengan rakan sebaya ditekankan kerana Penulis bersetuju dengan pendapat ahli psikologi seperti Powell (1963) yang beranggapan bahawa tingkah laku remaja dianggap hasil daripada hubungan dengan orang lain berdasarkan desakan budaya, sosial, biologikal dan fizikal. Penulis percaya melalui pertautan (attachment) yang wujud di kalangan pelajar dengan pelajar, dan pelajar dengan guru, sedikit sebanyak mempengaruhi tingkahlaku yang dibentuk dalam kumpulan pelajar tersebut.
Berikut merupakan beberapa program yang dijalankan di sekolah dan memperlihatkan hasil yang positif di mana masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan:
1. Penerapan Agape Love
Setiap tahun, satu kursus yang paling penting dilaksanakan di sekolah ialah Kursus Kepimpinan. Kursus ini dianggotai oleh pengawas, pembimbing rakan sebaya dan majlis pelajar. Di dalam kursus ini, pemimpin-pemimpin pelajar akan diterapkan dengan konsep “Agape Love”, iaitu satu konsep kasih sayang yang jarang diketahui umum. Ia merupakan satu penerapan nilai kasih sayang tanpa syarat. Pelajar diterapkan dengan nilai menyayangi semua orang tanpa mengira bangsa, agama, keturunan, ideologi, caragaya hidup yang berbeza dan sebagainya. Melalui penerapan konsep ini, isu pelajar di’ragging’ tidak lagi timbul kerana pelajar yang telah diberi kursus memahami tentang perbezaan manusia. Pelajar ditekankan tentang uniknya manusia dan mereka haruslah memberi kasih sayang tanpa syarat supaya kehidupan mereka di asrama dan di sekolah lebih bermakna. Pelajar dapat merasakan keseronokan hidup bersama setelah mereka mengamalkan konsep `agape love’ ini. Konsep `agape love’ ini diambil daripada kehidupan yang diamalkan pada zaman Red-Indian semasa dalam pemerintahan ketua mereka yang hebat iaitu White Eagle. Daripada penceritaan kisah White Eagle ini memberi impak yang besar di kalangan pelajar agar mencontohi budaya hidup bermasyarakat yang diamalkan oleh masyarakat Red Indian ketika itu. Sesi dua jam sudah mencukupi bagi pelajar mendapat iktibar agar mereka juga perlu mengamalkan konsep kehidupan masyarakat yang sebegitu. Kita akan merasai kehidupan yang berkasih sayang antara abang dan adik, pelajar serta guru, pekerja dan juga kehidupan bermasyarakat di sekolah dan di asrama akan menjadi lebih harmoni.
2. Mewujudkan kumpulan ‘trainers’
Kumpulan pemimpin yang diterap dengan konsep Agape Love kemudiannya dilatih untuk menjadi fasilitator. Mereka didedahkan dengan cara-cara untuk menjalankan sesebuah program seperti program motivasi, program kemahiran belajar, dan program kerjaya. Kumpulan trainers ini bertindak membimbing pelajar-pelajar lain dengan kemahiran yang mereka miliki. Secara tidak langsung, pihak sekolah berjaya menerapkan nilai kasih-mengasihi, hormat-menghormati, cintakan ilmu dan bekerjasama di kalangan para pelajar tanpa mengira bangsa, agama dan status ekonomi sosial. Ini juga dapat mengelakkan perasaan iri hati dan benci-membenci di kalangan para pelajar. Kumpulan Trainers ini yang pada dasarnya adalah terdiri daripada Pengawas, Pembimbing Rakan Sebaya, Biro Asrama, Majlis Perwakilan Pelajar dan sebilangan pelajar yang berisiko tinggi yang dikenalpasti dapat membantu mewujudkan keadaan harmoni di sekolah. Apabila pelajar tingkatan empat mendaftarkan diri, kumpulan inilah yang akan menjalankan program untuk mereka. Mereka akan menjadi abang dan kakak angkat kepada pelajar baru ini. Mereka diajar dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, asas-asas fasilitator yang berkesana, kemahiran belajar, kemahiran asas kaunseling dan seumpamanya. Layanan yang diberikan oleh mereka membuatkan pelajar tingkatan empat merasai diri mereka dibela. Hubungan mereka menjadi rapat dan seterusnya mewujudkan intimasi yang tinggi di kalangan mereka. Kumpulan trainers ini akan mempastikan kes-kes pelacoan tidak berlaku. Mereka juga selepas itu akan mengajar adik-adik mereka bagaimana untuk belajar dengan berkesan. Ini bermakna hubungan mereka adalah dipantau sepanjang tahun hinggalah pelajar tingkatan lima keluar dari sekolah tersebut.
3. Kursus FAJAR
FAJAR adalah membawa konotasi bahawa seseorang yang hendak berjaya hendaklah memulakan kerjanya awal pagi. Kursus ini dilaksanakan untuk para pelajar berisiko tinggi. Selalunya, kami mengumpulkan seramai 40 orang pelajar yang sering melakukan kesalahan disiplin. Mereka yang kami istilahkan sebagai high risked undercover (HRU) akan diberi layanan yang istimewa dari kami iaitu kaunselor dan guru disiplin. Melalui program ini, mereka akan menjadi lebih rapat dengan kaunselor, guru disiplin dan pihak sekolah. Malah, akhirnya mereka akan sedar kesilapan yang telah dilakukan dan cuba untuk membantu pihak sekolah dalam mengurangkan permasalahan disiplin. Mereka juga menjadi orang tengah di antara rakan-rakan pelajar yang bermasalah dengan pihak sekolah. Tidak boleh dinafikan bahawa pelajar ini mempunyai karisma yang tersendiri dan amat berpengaruh. Oleh itu, sekiranya mereka didekati oleh pihak kaunselor dan guru disiplin dan diberikan tugasan yang mereka sukai, maka mereka tidak akan membuat kacau dan masalah di sekolah. Apa yang penting kita membuatkan mereka terasa dihargai dan sentiasa memberi mereka penghargaan tentang apa yang mereka lakukan. Jelas daripada apa yang dilihat mereka nampak memberi kesan yang tinggi kepada penurunan kes permasalahan disiplin di sekolah.
4. Kursus GALUS
Kursus ini merupakan kursus yang dilaksanakan untuk pelajar yang lemah dalam peperiksaan. GALUS merupakan singkatan daripada Gagal Lulus, atau lebih tepat lagi pelajar yang berada dalam golongan antara gagal dan lulus. Di dalam program ini, pelajar yang lemah dalam akademik akan diberi tumpuan dan layanan yang sepatutnya. Kami melakukan kursus dari kemahiran belajar hinggalah ke motivasi serta mewujudkan rangkaian pembelajaran mengikut kaedah sinergi iaitu berpasukan. Bagi kami semakin banyak mereka diberi perhatian maka semakin bersemangat mereka untuk berjaya. Hasilnya, didapati pencapaian sekolah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin meningkat. Malah, jumlah pelajar yang mendapat Sijil Am Pelajaran (SAP) dalam peperiksaan SPM semakin berkurangan.
5. Kursus motivasi
Bagi para pelajar yang tidak dipantau, kursus motivasi dijalankan untuk mereka di peringkat sekolah. Pesertanya adalah terdiri daripada para pelajar yang tidak terlibat dengan apa-apa kursus sebelum ini. Melalui kursus motivasi yang dijalankan, mereka akan diberi pengisian kemahiran belajar, komunikasi berkesan, motivasi dan penerapan konsep agape love. Dengan ini kesemua pelajar akan mendapat pengisian yang sama untuk menjadikan mereka mengamalkan satu budaya yang sama atau shared value yang setara. Ini memudahkan pihak sekolah terutamanya kaunselor pelajar dan guru disiplin untuk mencorakkan pelajar. Mereka mempunyai matalamat yang sama dan mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang mereka patut lakukan kepada pihak sekolah. Mereka juga sedar sekiranya masalah yang mereka lakukan maka akan melambatkan proses untuk mereka berjaya kerana banyak masa diambil bagi menangani sesuatu permasalahan yang dilakukan oleh mereka sendiri.
6. Mewujudkan ‘networking’ di sekolah
Selain daripada menjadikan pelajar sebagai penghubung antara guru-guru dan pelajar-pelajar yang lain, kami juga menyediakan tong aduan kilat di tempat-tempat yang mudah untuk pelajar memasukkan aduan mereka seperti di kantin, di pusat sumber dan di bilik kaunseling sendiri. E-mail aduan juga diwujudkan, iaitu azizmysmtk@hotmail.com sebagai alternatif untuk para pelajar meluahkan permasalahan mereka. Portal dalam internet turut ditubuhkan, iaitu http://www.techboard.cjb.net/ bertujuan untuk membolehkan para pelajar berinteraksi dan berbalas informasi antara satu sama lain. Melalui cara ini, kaunselor dapat mengetahui cara pelajar berpolitik di dalam asrama dan sekolah. Kaunselor pelajar juga dapat mengetahui isu-isu sulit pelajar melalui portal ini dengan membuat penyamaran. Isu yang dibuat oleh kaunselor sebenarnya tidak langsung dapat dihidu oleh pelajar kerana kaunselor menggunakan nama samaran yang mereka anggapkan pelajar. Kaunselor dapat mengetahui isu-isu seperti pelacoan, pergaduhan, pelajar lelaki memasuki asrama pelajar puteri, keluar malam dan sebagainya. Dengan adanya networking yang melibatkan trainers, pelajar merasakan bahawa mereka tidak boleh melakukan permasalahan disiplin kerana tindakan mereka pasti akan dapat dihidu oleh pihak kami.
5. Cadangan dan Kesimpulan
Kursus-kursus seperti Kursus kaunseling bagi pelajar asrama, kursus Trainers, kursus Fajar bagi pelajar berisiko tinggi, kursus motivasi pada semua pelajar, program minggu silaturrahim, kursus fasilitator adalah antara kursus yang amat penting bagi pelajar mengikutinya. Bagi kaunselor pelajar sekiranya boleh mereka sendiri yang menjalankan kursus tersebut di sekolah. Ini amat penting kerana selepas itu merekalah yang akan memantau selepas setiap program dijalankan. Sekiranya kursus dijalankan oleh pihak luar, ia akan menjadi kurang berkesan kerana masalah pemantauan. Pelajar pula merasakan diri mereka tidak komited dengan program yang telah mereka lalui dengan orang luar itu.
Kesimpulannya, bagi mewujudkan suasana yang harmoni di asrama dan di sekolah serta untuk menjaminkan pelajar berasa seronok belajar di sekolah berkenaan, pihak kaunselor pelajar dan guru disiplin haruslah bekerjasama dan sama-sama memikirkan kaedah yang paling sesuai untuk dilaksanakan di sekolah. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang mesti dilakukan oleh kedua-dua personel yang penting di sesebuah sekolah itu. Ini memberi implikasi bahawa mereka perlu didedahkan dengan pelbagai kemahiran terutamanya kemahiran dalam mengendalikan program supaya ianya sesuai dan dapat memikat hati pelajar bagi mengikuti program tersebut.
pelajar.
http://pusaka02.blogspot.com/2008/06/intervensi-dalam-menangani-masalah_09.html
Monday, November 2, 2009
disiplin002
Posted by tapaiemon at 1:21 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment